“Aku benci betul la dengan exam!” keluh seorang pelajar A.
“Eh, kenape kau cakap macam tu?” soal pelajar B mendengar keluhan pelajar A.
“Ye la. Aku sebenarnye suke belajar subjek X ni, tapi sebab exam la buatkan aku tak suke subjek ni. Aku tak suke bile kite kene study, then kene jawab exam. Dah la tu, ganggu niat aku je nak tuntut ilmu. Susah nak ikhlas tau tak!” jawab pelajar A
“Astaghfirullah. Aku rase masalah sebenarnye bukan pada exam tu la A. Aku rase masalah sebenarnye ialah pada cara ko berfikir tu.” balas pelajar B.
Peperiksaan Oh Peperiksaan
Pasti ada yang pernah menyatakan bahawa mereka tidak suka sistem peperiksaan yang dilalui selama. Hujahnya, peperiksaan menyebabkan mereka tidak suka belajar sesuatu subjek dan peperiksaan menyusahkan mereka untuk ikhlas dalam belajar. Peperiksaan menyebabkan mereka “belajar kerana peperiksaan, bukan kerana Allah.”
Pada pandangan saya, kesalahannya bukan terletak pada sistem peperiksaan tersebut, sebaliknya terletak kepada cara berfikir kita semua. Selama ini kita telah dididik dengan sistem peperiksaan semenjak sekolah rendah, sehinggakan secara tidak langsung meletakkan matlamat belajar di sekolah adalah peperiksaan.
Akibatnya, di antara yang sedar bahawa “belajar kerana peperiksaan” adalah niat yang salah benci akan peperiksaan dan berhasrat menentangnya! Kenapa? Kerana risau hal ini menyebabkan para pelajar tidak ikhlas dalam menuntut ilmu.
Kisah Hidup Seorang Imam
Sebelum saya teruskan bicara, ingin saya kongsikan sebahagian kisah hidup Imam Al-Ghazali yang saya petik daripada Wikipedia Bahasa Melayu:
“Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.
Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini."
Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, "Apa ini?"
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, "Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya."
Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, "Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!"
Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.
Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, "Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis."
Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, "Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!"”
Kisah penuh di http://ms.wikipedia.org/wiki/Abu_Hamid_Al-Ghazali.
Peperiksaan Mengganggu?
Menarik bukan kisah ini? Adakah pembaca sekalian dapat melihat kesamaannya dengan sistem peperiksaan hari ini? Saya ingin berkongsi pandangan mengenai “peperiksaan” ataupun “examination” ataupun “ujian” ini…
Pada pandangan saya, jika kita masih berfikir bahawa “peperiksaan merupakan penyebab kita tidak sukakan sesuatu subjek, penyebab kita malas belajar, penyebab niat kita lari” maka kesalahannya terletak pada cara kita melihat “peperiksaan” itu sendiri!
Mungkin ada yang mengatakan bahawa, “Peperiksaan tidak penting! Yang penting kita ikhlas dalam menuntut ilmu, dan beramal dengannya ilmu tersebut dengan ikhlas!”
Ya, tidak dinafikan bahawa ilmu, amal, dan keikhlasan itulah yang penting. Namun, dalam konteks hari ini, mahu tidak mahu kita tidak dapat lari daripada menduduki peperiksaan. Malah, sedarkah kita bahawa kehidupan kita sendiri merupakan suatu peperiksaan (yakni ujian)? Bencikah kita pada hidup kita? Nak hapuskan ujian? Hapuskanlah hidup anda…
Apa yang penting adalah untuk kita mengubah cara berfikir agar ujian itu menjadi satu wadah dan pemangkin untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perompak di atas mempersoalkan Imam Al-Ghazali, "Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya?” Begitulah juga saya ingin mempersoalkan diri saya sendiri dan pembaca sekalian, “Bagaimana kita boleh mendakwa kita telah memperolehi ilmu jika kita gagal menjawab peperiksaan dengan baik!?” Adakah ilmu kita di atas kertas? Atau di dada kita? Bagaimana pula boleh mendakwa kita mampu beramal sedangkan ilmu tiada di dada kita? Beramal tanpa ilmukah? Jika amalan juga tiada, di manakah keikhlasan?
Anggapkanlah peperiksaan itu sebagai medan kita menguji ilmu di dada kita! Maka tidak timbul masalah “belajar kerana peperiksaan” memandangkan matlamat sebenar kita bukanlah peperiksaan, sebaliknya ilmu itu sendiri. Peperiksaan hanya sekadar menguji tahap penguasaan ilmu…
Kemudian, kita dikenakan “ujian kehidupan”. Di sinilah amalan kita akan diuji. Jika kita mampu beramal dengan ilmu yang dimiliki, maka “lulus”lah kita. Jika tidak mampu, “gagal”lah kita. Re-sit mungkin ada - yakni apabila Allah uji kita sekali lagi, mungkin dalam bentuk yang sedikit berbeza. Bagaimana dengan keikhlasan? “Markah” keikhlasan akan diketahui di akhirat kelak…
Janganlah hanya kerana peperiksaan, niat belajar kita lari ataupun terganggu sedangkan perkara itu boleh dielakkan. Istiqamahlah dalam menuntut ilmu, jangan biasakan diri dengan study last minute kerana sikap sedemikian pada pandangan saya tidak menggambarkan keikhlasan menuntut ilmu.
Sekadar sebuah pandangan. Mohon diberikan komen, teguran dan pembetulan sekiranya didapati terdapat kefahaman yang salah. Wallahu a’lam… =)
Nota: Kalau tak dapat jawab exam sebab lupa sekali-sekala, tidak mengapalah, kerana sifat manusia memang pelupa. Yang penting, teruskan usaha yang bersungguh-sungguh dan laksanakan sesuatu seikhlas mungkin. ^^